SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI SK DUSUN

Isnin, 9 Januari 2012

Lawatan Bermaklumat ke Medan, Indonesia pada 18-23 Disember 2011

Seawal dini pagi lagi rombongan yang terdiri daripada seramai dua orang guru dan sepuluh orang murid telah pun tiba di LCCT, Kuala Lumpur  untuk menaiki pesawat terus ke Medan yang merupakan kota ketiga terbesar di Indonesia. Pelbagai persoalan yang bermain dibenak fikiran ketika itu, maklumlah ini merupakan kali pertama kami merentasi sempadan negara untuk melihat negara orang.
                Kami tiba di Medan kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan. Hujan yang agak lebat menyambut ketibaan kami di Medan. Kami disambut oleh pengurus agensi pelancongan di sana dengan layanan yang begitu mesra. Walaupun ketika itu masih agak awal namun perut mulai terasa lapar kerana waktu tempatan yang lewat sejam daripada waktu di Malaysia. Kami menikmati makan tengah hari di kota Medan di sebuah restoren ekslusif seawal jam 11.00 pagi waktu tempatan.
                Pada hari pertama kami hanya dibawa mengelilingii kota raya Medan yang sememangnya padat dengan penduduk dengan kepelbagaian ragamnya. Aliran trafik yang terlalu sesak menyebabkan banyak masa yang dihabiskan di dalam bas. Sistem jalan raya yang kurang sempurna menambahkan lagi  kesesakan kota Medan. Oleh kerana terlalu penat dan keletihan kami terus ke tempat penginapan di kota berkenaan.
                Kota Medan memang menjadi surga membeli belah rakyat Malaysia. Apa tidaknya ke mana saja gedung-gedung perniagaan yang kami singgahi, pastinya ada orang Malaysia di situ. Kadang-kala terasa seolah-olah berada di tanah air sendiri.  Kain telekung sembahyang, kain batik dan aneka fabrik menjadi tarikan kepada pengunjung-pengunjung dari Malaysia. Namun harus berhati-hati jika tidak tahu dan mahir dalam urusan tawar menawar tentu kita akan gigit jari.
                Kota Medan juga terkenal dengan penjual jalanan yang menjual aneka cenderamata, barangan kulit dan fabrik. Meraka ini akan berpusu-pusu mendekati kita sebaik sahaja turun dari bas. Mereka akan menawarkan pelbagai barang yang dibawa dengan pelbagai taktik  agar kita membelinya. Penjual jalanan ini tidak hanya menunggu ketibaan pelancong ketika turun dari bas tetapi turut berada di pintu-pintu masuk gedung perniagaan malahan sehingga ke hotel penginapan demi kelangsungan hidup. Suasana ini mungkin tidak berlaku di negara kita.
                Jurang kehidupan antara si miskin dan si kaya amat jelas kelihatan. Jurang sosial yang begitu meluas ini menjadikan kota Medan sebagai kota metropolitan yang tidak semegah bandar-bandar besar di malaysia. Kedaifan hidup masyarakat kota yang mendiami kota itu dapat dilihat di kawasan petempatan yang turut menjadi sebahagian nadi kota Medan itu.
                Setelah berada di sana lebih kurang tiga hari dua malam, kami bertolak pulang ke tanah air dengan seribu pengalaman dan kenangan. Syukur kepada Allah kami telah selamat tiba di Kuala Lumpur dan terus bertolak dengan bas ke Terengganu. Terima kasih kepada YB Haji Rozi Mamat yang menaja keseluruhan lawatan ini dan kesemua pihak-pihak yang terlibat sehingga ke akhirnya.
                Sepanjang lawatan tersebut apa yang boleh disimpulkan sesungguhnya kita semestinya bersyukur menjadi sebahagian anak di bumi bertuah ini yang hidup tanpa melalui jerih perih demi sesuap nasi. Nyata kita amat bertuah kerana mengecapi kemakmuran dan kemewahan hasil daripada kebijaksaan kepimpinan negara ini.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan