SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI SK DUSUN

Selasa, 31 Januari 2012

Kejohanan Bola Tampar KDSR Zon 2 telah bermula !!!

Pasukan Bola Tampar SK Dusun telah berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dalam Kejohanan Bola Tampar peringkat Zon 2 KDSR yang telah diadakan di SK Kuala Dura pada hari ini Selasa jam 3.00 petang. Pasukan lelaki mahupun perempuan telah berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi menempah tiket ke peringkat separuh akhir ini. Bagi menempatkan diri ke peringkat seterusnya, pasukan perempuan telah menewaskan dari SK Tengku Ampuan Intan, SK Kuala Berang dan pasukan dari tuan rumah iaitu SK Kuala Dura. Manakala pasukan lelaki pula telah menewaskan pasukan dari SK Seri Berang, SK Kuala Dura dan SK Seri Buluh. Perlawanan akan bersambung pada hari esok 1/2/2012 tepat jam 2.30 petang.

Selasa, 17 Januari 2012

Perlawanan Persahabatan SK Dusun L12 dan P12 antara SMK Tengku Ampuan Intan

Satu perlawanan persahabatan Bola Tampar antara SK Dusun dengan SMK Tengku Ampuan Intan telah diadakan pada hari Selasa 17.1.2012 pada jam 4 petang. Perlawanan persahabatan ini bertujuan untuk memantapkan kemahiran bagi persediaan menghadapi perlawanan sebenar yang akan diadakan pada 30.1 – 1.2.2012 di SK Kuala Dura. 

Isnin, 16 Januari 2012

MEMBAJA POKOK KELAPA SAWIT

Aktiviti pada pagi Isnin telah dimulai dengan membaja pokok kelapa sawit yang ditanam di sekitar kawasan sekolah. Semua murid dan guru turut turun padang bagi menjalankan aktiviti ini. Pokok kelapa sawit ini telah ditanam pada pertengahan bulan Ogos tahun lepas. Ini merupakan proses membaja kali pertama setelah pokok tersebut ditanam. 

Hari Kedua

Pertandingan hari ini telah bersambung tepat jam 2.30 petang. Setakat hari ini, wakil SK Dusun telah berjaya memasuki Separuh Akhir. Untuk peringkat Separuh Akhir ini, adik Hazwani tewas ditangan peserta dari SK Kuala Berang. Johan Kejohanan Ping Pong KDSR 2 ini telah disandang oleh peserta dari SK Tapah manakala Naib Johan disandang oleh peserta dari SK Seri Berang.  

Ahad, 15 Januari 2012

Hari Pertama : SK DUSUN PENGELOLA KEJOHANAN PING PONG KDSR 2

Kejohanan ini telah berlangsung di Dewan Butut, Kampung Butut selama 2 hari iaitu pada 15/1/2012 hingga 16/1/2012 jam 2.30 petang. Sebanyak 11 buah sekolah telah menyertai pertandingan peringkat zon kali ini. SK Dusun telah diwakili oleh adik Hazwani bt Sukri dari Tahun 5. Setakat hari ini, Hazwani telah berjaya memasuki peringkat Suku Akhir. Pertandingan untuk hari pertama berakhir jam 5.30 petang dan akan bersambung pada 16/1/2012 pada tepat jap 2.30 petang.

Isnin, 9 Januari 2012

Lawatan Bermaklumat ke Medan, Indonesia pada 18-23 Disember 2011

Seawal dini pagi lagi rombongan yang terdiri daripada seramai dua orang guru dan sepuluh orang murid telah pun tiba di LCCT, Kuala Lumpur  untuk menaiki pesawat terus ke Medan yang merupakan kota ketiga terbesar di Indonesia. Pelbagai persoalan yang bermain dibenak fikiran ketika itu, maklumlah ini merupakan kali pertama kami merentasi sempadan negara untuk melihat negara orang.
                Kami tiba di Medan kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan. Hujan yang agak lebat menyambut ketibaan kami di Medan. Kami disambut oleh pengurus agensi pelancongan di sana dengan layanan yang begitu mesra. Walaupun ketika itu masih agak awal namun perut mulai terasa lapar kerana waktu tempatan yang lewat sejam daripada waktu di Malaysia. Kami menikmati makan tengah hari di kota Medan di sebuah restoren ekslusif seawal jam 11.00 pagi waktu tempatan.
                Pada hari pertama kami hanya dibawa mengelilingii kota raya Medan yang sememangnya padat dengan penduduk dengan kepelbagaian ragamnya. Aliran trafik yang terlalu sesak menyebabkan banyak masa yang dihabiskan di dalam bas. Sistem jalan raya yang kurang sempurna menambahkan lagi  kesesakan kota Medan. Oleh kerana terlalu penat dan keletihan kami terus ke tempat penginapan di kota berkenaan.
                Kota Medan memang menjadi surga membeli belah rakyat Malaysia. Apa tidaknya ke mana saja gedung-gedung perniagaan yang kami singgahi, pastinya ada orang Malaysia di situ. Kadang-kala terasa seolah-olah berada di tanah air sendiri.  Kain telekung sembahyang, kain batik dan aneka fabrik menjadi tarikan kepada pengunjung-pengunjung dari Malaysia. Namun harus berhati-hati jika tidak tahu dan mahir dalam urusan tawar menawar tentu kita akan gigit jari.
                Kota Medan juga terkenal dengan penjual jalanan yang menjual aneka cenderamata, barangan kulit dan fabrik. Meraka ini akan berpusu-pusu mendekati kita sebaik sahaja turun dari bas. Mereka akan menawarkan pelbagai barang yang dibawa dengan pelbagai taktik  agar kita membelinya. Penjual jalanan ini tidak hanya menunggu ketibaan pelancong ketika turun dari bas tetapi turut berada di pintu-pintu masuk gedung perniagaan malahan sehingga ke hotel penginapan demi kelangsungan hidup. Suasana ini mungkin tidak berlaku di negara kita.
                Jurang kehidupan antara si miskin dan si kaya amat jelas kelihatan. Jurang sosial yang begitu meluas ini menjadikan kota Medan sebagai kota metropolitan yang tidak semegah bandar-bandar besar di malaysia. Kedaifan hidup masyarakat kota yang mendiami kota itu dapat dilihat di kawasan petempatan yang turut menjadi sebahagian nadi kota Medan itu.
                Setelah berada di sana lebih kurang tiga hari dua malam, kami bertolak pulang ke tanah air dengan seribu pengalaman dan kenangan. Syukur kepada Allah kami telah selamat tiba di Kuala Lumpur dan terus bertolak dengan bas ke Terengganu. Terima kasih kepada YB Haji Rozi Mamat yang menaja keseluruhan lawatan ini dan kesemua pihak-pihak yang terlibat sehingga ke akhirnya.
                Sepanjang lawatan tersebut apa yang boleh disimpulkan sesungguhnya kita semestinya bersyukur menjadi sebahagian anak di bumi bertuah ini yang hidup tanpa melalui jerih perih demi sesuap nasi. Nyata kita amat bertuah kerana mengecapi kemakmuran dan kemewahan hasil daripada kebijaksaan kepimpinan negara ini.




Isnin, 2 Januari 2012

Pendaftaran murid bagi tahun 2012

Pendaftaran murid bagi tahun 2012 telah dibuka pada hari ini (02/01/2012) Isnin bertempat di kelas tahun 5 sk dusun. Untuk tahun 2012 ini seramai 60 orang murid telah mendaftarkan diri di SKD.