SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI SK DUSUN

Ahad, 20 November 2011

Suasana Semasa dan Selepas Pengumuman Keputusan UPSR

Murid yang mendapat keputusan 5A
1. Muhammad Amin Iskandar b Ahmad Latfi
2. Muhammad Nadzir b Abdullah
3. Zubir b Abdullah
4. Nurshazlin bt Kamalrudin
5. NurulJannah bt Mohamad
6. Nurul Anis Shahirah bt Zaharudin
7. Siti MaizatulAzwa bt Fauzi

Murid yang mendapat keputusan 4A
1. Muhammad Faridzuan Farhan b Mohd Zabri
2. Muhammad Syukri b Baharun
3. Nur Liyana Nabihah bt Mamat
4. Siti Khu Nazirah bt Abdullah
5. Muhammad Syahmin b Mohd Saharudin
1001 perasaan terpancar pada wajah murid -murid SKD

Suasana selepas mendapat slip keputusan 



 wajah-wajah gemilang murid SK Dusun
UPSR 2011
Murid yang mendapat keputusan 5A : duduk di hadapan


Jumaat, 18 November 2011

SK DUSUN TERUS CEMERLANG!!

Petikan daripada surat khabar Sinar Harian hari ini,Jumaat 18/11/2011 

Menurut Pengarah Pelajaran Negeri, Razali Daud, SK Kampung Bharu Tok Dor, Besut muncul sekolah terbaik apabila 12 orang daripada 18 calonnya mendapat semua A, iaitu 66.67 peratus manakala SK Dusun, Hulu Terengganu terbaik berdasarkan GPS yang diperoleh, iaitu 1.23.

Salah seorang calon UPSR SK DUSUN yang telah mendapat 5A.

Seramai 7 orang murid SK DUSUN telah berjaya mendapat 5A dalam UPSR 2011. Keputusan ini adalah satu kejutan kepada seluruh warga sekolah kerana sekolah hanya mensasarkan seramai 5 orang murid. Ini adalah hadiah yang tidak terduga bagi tahun 2011 ini.

Khamis, 17 November 2011

Sekitar Hari Anugerah Kecemerlangan SK Dusun 2011




Ucapan daripada Pengerusi PIBG dan Puan Guru Besar SK Dusun
Temumurni Sebelum Majlis Anugerah Bermula 
Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan sedang dijalankan.

Selasa, 18 Oktober 2011

TAHNIAH SK DUSUN...KITA JOHAN LAGI!!!

Pasukan Pelapis Bola Tampar SK Dusun P11 dan L11 telah menjuarai Bola Tampar di Karnival 1Murid 1Sukan Permainan Olahraga, Bola Sepak, Bola Jaring, Bola Tampar, Bola Baling, Memanah, Hoki, Ragbi, Sofbol dan Bola Takraw Majlis Sukan Terengganu Tahun 2011 yang telah berlangsung selama 2 hari (14 Oktober - 15 Oktober 2011) di SM Sains Sultan Mahmud,K.Terengganu. Pasukan P11 SK Dusun telah menewaskan pasukan Bola Tampar daripada SK Bukit Tunggal (15-7). Manakala Pasukan L11 SK Dusun menewaskan pasukan daripada SK Paka 2 dengan keputusan 15-14.


Selasa, 11 Oktober 2011

Lawatan PASCA UPSR 2011

AHAD (09/10/2011) - Satu lawatan PASCA UPSR 2011 telah dijalankan ke Bandaraya Kuala Terengganu bagi mengisi masa terluang sementara menunggu keputusan UPSR yang bakal diumumkan tidak lama lagi. Seramai 15 orang murid Tahun 6 dan 4 orang guru pengiring telah menyertai lawatan ini. Tempat yang dilawati adalah Muzium Losong dan Taman Tamadun Islam yang terletak di Pulau Wan Man.
Di hadapan pintu masuk Muzium Losong

 Di hadapan pintu utama Masjid Kristal, Pulau Wan Man

ISNIN (10/10/2011) - Untuk hari kedua bagi memenuhi PASCA UPSR 2011, murid Tahun 6 bersama-sama 3 orang guru pengiring telah melawat Pusat Penyelidikan dan Pemeliharaan Tuntung, Hulu Terengganu. Murid-murid hanya menaiki basikal untuk ke pusat tersebut. Ini kerana Pusat Penyelidikan dan Pemeliharaan Tuntung ini hanya mengambil masa 10 minit daripada sekolah jika menaiki basikal.



Selasa, 4 Oktober 2011

Malaysia menyerlah dalam F1 in Schools antarabangsa


Dua buah sekolah menengah dari negara kita berjaya mencipta nama di persada antarabangsa apabila diumumkan juara kategori pada pertandingan Formula One (F1) in Schools Dunia Peringkat Akhir 2011 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Sains (SMS) Hulu Selangor, Selangor masing-masing menjuarai kategori Team Identity Award dan Team Portfolio Award pada pertandingan kali ketujuh itu.
Pada pertandingan tersebut, kategori utama iaitu Juara Dunia F1 in Schools dimenangi oleh Brooks High School dari Tasmania, Australia yang menewaskan 22 pasukan lain dari 16 negara dari seluruh dunia termasuk Malaysia.
Kemenangan itu melayakkan Brooks High School membawa pulang Trofi Juara Dunia Bernie Ecclestone dalam pertandingan yang menguji kemahiran para pelajar mereka bentuk, membangun dan menghasilkan kereta F1 untuk masa depan.
Menggunakan perisian Solid Edge ST3 dari Siemens, F1 in Schools Dunia Peringkat Akhir ini memerlukan pelajar menggunakan kreativiti dan kemahiran kejuruteraan untuk menjana kereta lumba yang rumit dengan rekaan inovatif yang kemudiannya akan dipersembahkan kepada panel hakim pakar.
Tempat kedua bagi kategori utama itu dimenangi oleh Grootmoor Gymnasium, Hamburg, Jerman manakala tempat ketiga menjadi milik South East High School, Florida yang berkongsi tempat dengan James Madison Middle School, Virginia, Amerika Syarikat.
F1 in Schools merupakan satu-satunya cabaran multi disiplin global untuk pelajar-pelajar sekolah berumur antara sembilan hingga 19 tahun.
Berpusat di London, United Kingdom dan disokong oleh Institut Kejuruteraan dan Teknologi, dana pertandingan ini dikumpulkan melalui penajaan dan pelaburan dalam mentadbir, membangun dan memperluaskan cabaran.
Pertandingan ini memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar untuk menggunakan teknologi maklumat (IT) bagi mempelajari ilmu fizik, aerodinamik, reka bentuk, pembuatan, penjenamaan, grafik, tajaan, pemasaran, kepimpinan, kerja berpasukan, kemahiran media dan strategi kewangan dan mengaplikasikannya dalam satu cara menarik, praktikal dan imaginatif.
Ia juga memberi cabaran kepada para pelajar untuk menggunakan perisian mereka bentuk, membina dan menguji kelajuan miniatur kereta F1 yang dibuat daripada kayu balsa dengan kuasa udara mampat silinder tunggal.
Semua pasukan yang terlibat menerima satu kit permulaan yang mempunyai semua bahan asas termasuklah sat u blok kayu balsa untuk mencipta miniatur kereta lumba F1 itu.
Pelajar harus menyediakan pelan perniagaan, peruntukan dan mencari penaja melalui kerjasama dengan komuniti perniagaan.
Kereta F1 tersebut kemudiannya akan disertakan dengan perisian Computer Aided Manufacture (CAM) sebelum diuji dalam terowong angin dan asap. Kemudian kereta F1 itu diuji dalam perlumbaan bagi menghabiskan jarak laluan lurus sejauh 20 meter.

Isnin, 3 Oktober 2011

Tazkirah

قال النبى الله عليه وسلم : العِلمُ امامُ والعملُ تابعُهُ
Ilmu adalah imam kepada amal dan amal adalah makmumnya.

قال النبى الله عليه وسلم : إن النور إذا دخل القلب انفسخ وانشرح

Sesungguhnya Nur atau Cahaya, apabila telah masuk ke dalam hati manusia, hatinya akan menjadi lapang dan lega.

Ahad, 2 Oktober 2011

SKD Diiktiraf Sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK)

Dr. Hj Zahri b Aziz
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia



Guru Besar SKD menerima Sijil Pengiktirafan SKK dari TKPPM

Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan ini telah diadakan di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya. Majlis ini diadakan selama 5hari yang dihadiri oleh Guru Besar,Pengetua dan Pembantu Tadbir sekolah masing-masing. Penganugerahan ini telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr. Hj Zahri b Aziz. Sebanyak 8 buah sekolah di negeri Terengganu telah diiktiraf sebagai SKK bagi Fasa 5 iaitu SK Rantau Petronas (Kemaman), SK Seri Berang (Hulu Terengganu), SK Dusun (Hulu Terengganu), SMK Mak Lagam (Kemaman), SM Sains Kuala Terengganu (Kuala Terengganu), SM Sains Integrasi Batu Rakit (Kuala Terengganu), SM Atas Ugama Zainal Abidin (Kuala Terengganu), Imtiaz (Kuala Terengganu).


Ahad, 18 September 2011

TAHNIAH SK DUSUN

Sekali lagi SK Dusun menjadi Johan untuk Pertandingan Bola Tampar tetapi ini bagi projek 1M 1S. Pertandingan Bola Tampar ini telah diadakan di SMK Tengku Ampuan Intan pada 17 September 2011 (Sabtu). SK Dusun memenangi untuk kategori Lelaki Bawah 12 dan Perempuan Bawah 12. Pertandingan ini adalah anjuran PPD Hulu Terengganu. Syabas SKD!!

Selasa, 13 September 2011

PEMANTAUAN ANUGERAH SKM CEMERLANG 2011




Seramai 2 orang pegawai daripada JPNT telah datang memantau SK Dusun untuk Pencalonan Anugerah SKM Cemerlang bagi mewakili daerah Hulu Terengganu. Sebanyak 5 buah sekolah SKM seluruh Terengganu telah tercalon bagi mewakili daerah masing-masing. Sekolah tersebut ialah SK Tayor (Setiu), SK Jenang (Marang), SK Kg. Shukor (Dungun), SKJ (C) Kuala Kemaman dan SK Pecah Rotan (Kuala Terengganu). Pegawai yang datang memantau SK Dusun adalah En. Jelani b. Sulong (KUSR JPNT) dan En. Mat Lazim@Mahasan b. Noor (Penyelia Kanan).

Isnin, 12 September 2011

PENILAIAN SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI KOHORT 3 2011





Seramai 5 orang daripada Jemaah NAZIR datang memantau ke SK Dusun bagi Penilaian Sekolah Berprestasi Tinggi  Kohort 3 2011. Penilaian ini disertai oleh En. Mohd Nor Hisham Ghazali (JNJK Terengganu), En. Sahari b. Mustafa, En. Che Rosli b Ahamad, En. Zakaria b. Mahzan (JNJK Putrajaya) dan Tn.Hj. Mohd Isha. b. Dnn.

Rabu, 7 September 2011

RIANG RIA MERDEKA RAYA SK DUSUN 2011



Jamuan Raya SK Dusun bertemakan Riang Ria Merdeka Raya telah diadakan pada hari ini. Banyak aktiviti yang telah diaturkan sepanjang majlis ini. Setiap kelas telah mempersembahkan nyanyian lagu raya dengan bimbingan guru kelas masing-masing. Majlis ini sangat meriah dengan gelak ketawa murid-murid serta guru-guru. Kenangan ini tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Selasa, 6 September 2011

Tip Persediaan Akhir Peperiksaan


Kita percaya semua calon peperiksaan awam yang mahukan kejayaan,para guru dan ibubapa sedang sibuk memberi fokus serta keutamaan kepada persediaan menghadapi peperiksaan berkaitan.Di sini terdapat beberapa tip untuk cemerlang dan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan khususnya bagi pelajar-pelajar yang akan mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.

Bagi pelajar peringkat menengah yang bakal menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM juga boleh menggunakan tip ini sebagai panduan pembelajaran dan persediaan anda.

Sepertimana kita maklumi, pada minggu hadapan bermula 13 – 15 September, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diadakan.Kita percaya disaat ini pelajar-pelajar bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran dan membuat persediaan untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.

Tip ini di ambil dari akbar berita harian untuk pekongsian kita bersama dan diharapkan ianya dapat membantu pelajar-pelajar menghadapi ujian dengan yakin dan bersemangat . Antaranya ialah :

1. Semak jadual

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.

Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan

Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.

Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.

Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.

Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan

Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.

Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.

Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel

Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.

Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.



Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti


ehsan : http://unitrendahspsjpnt.blogspot.com

Isnin, 5 September 2011

Permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh 2012

Permohonan Secara Online Kemasukan Murid Ke Sekolah Berasrama Penuh bagi Tahun 2012

Permohonan Secara Online Kemasukan Murid Ke Sekolah Berasrama Penuh
bagi Tahun 2012 akan dibuka pada
1 SEPTEMBER  HINGGA 15 OKTOBER 2011.
Sila Hubungi :
BAHAGIAN PENGURUSAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH DAN SEKOLAH KECEMERLANGAN
untuk maklumat lanjut.
NO. TEL : 03-83217400
NO. FAKS: 03-83217403

Khamis, 25 Ogos 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


Kami warga SK Dusun mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfirti, Maaf Zahir dan Batin dan juga Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-54. Semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju. 

Isnin, 22 Ogos 2011

Program Ihya' Ramadhan 2011





Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan Kareem, Panitia Pendidikan Islam telah melancarkan Program Ihya Ramadhan 1432H yang diterajui oleh Pn. Zuraidah bt Abdul Rahman dan Pn. Widad bt Ma. Majlis dimulakan dengan Pertandingan Azan dan diikuti dengan Bacaan Al-Quran.

Pelbagai aktiviti bersempena dengan  Program Ihya Ramadhan telah dirancangkan, di antaranya ialah :-
  • Tadarus Al-Quran
  • Majlis Tilawah Al-Quran
  • Pertandingan Azan
  • Pertandingan Tulisan Jawi Cantik Tahap 1
  • Pertandingan Khat Tahap 2

Semoga program Ihya' Ramadhan 1432H ini dapat menerapkan dalam diri murid dan guru supaya menghayati amalan di bulan Ramadhan al-Mubarak.

Khamis, 18 Ogos 2011

Eduweb TV Catat 500,000 Pengguna Internet Rumah Sebulan

KLANG 15 Ogos - Portal EduwebTV yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran sejak 2008 mendapat sambutan menggalakkan apabila mencatatkan purata 500,000 capaian sebulan dengan 33 peratus membabitkan pengguna Internet dari rumah.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, capaian tersebut dijangka dapat dipertingkatkan lagi apabila kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus capaian Internet dari rumah menjelang hujung tahun ini.
"Para pelajar yang menerima komputer riba 1Malaysia daripada kerajaan juga digalakkan menggunakan kemudahan yang diberikan itu bagi melayari portal EduwebTV yang dilihat dapat membantu mereka meneruskan pelajaran dari rumah di samping memudahkan mereka memperoleh maklumat dengan cepat, luas serta menyeluruh.
''Sebanyak satu juta unit komputer riba 1Malaysia yang sudah dan bakal diedarkan kepada pelajar terpilih untuk kemudahan pembelajaran yang salah satu daripadanya ialah mengikuti program EduwebTV yang mempunyai lapan saluran dan 3,185 rancangan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan komputer riba 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Idris Shah di sini, hari ini.
Mohd. Puad berkata, rancangan yang boleh diikuti menerusi EduwebTV ialah berita pendidikan bahasa Inggeris dan Malaysia, rancangan akademik, rencana, wawancara, kurikulum, interaktif dan siaran langsung arkib.
Terdahulu beliau menyerahkan sebanyak 667 komputer riba 1Malaysia kepada 12 sekolah di sekitar Parlimen Kapar, antaranya SMK Rantau Panjang, SMK Sungai Kapar Indah dan SMK Tinggi Klang.
Seorang penerima, S.Ranjini, 19, dari SMK Tinggi Klang berkata, pemberian komputer riba itu memudahkannya mendapat maklumat yang dikehendaki dengan cepat di samping membolehkannya memuat turun soalan-soalan peperiksaan yang lalu untuk rujukan.
''Selain itu, ia juga membolehkan saya mencari kenalan baru dari negeri lain dan bertukar pendapat," katanya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.
Seorang lagi penerima, Muhammad Amirul Hizmi Adnan, 15, dari SMK Sungai Kapar Indah berkata, komputer riba itu akan digunakan dengan sebaik mungkin sebagai persediaan menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR).
''Saya gembira kerana dipilih sebagai penerima komputer riba dan dengan adanya kemudahan itu, saya dapat memperoleh maklumat di hujung jari sahaja di samping membantu mempersiapkan diri saya menghadapi peperiksaan," katanya.

Isnin, 15 Ogos 2011

Pemantauan Inisiatif ICT di SK Dusun

Seramai 3 orang pegawai dari BTPNT telah membuat pemantauan di SK Dusun pada 15hb Ogos 2011 yang diketuai oleh Tuan Haji Mat Nawi bin Omar. Antara lokasi pemantauan termasuklah PSS,Makmal Komputer dan Bilik Tayang.

Ahad, 31 Julai 2011

Program Bescomm 'Tour' Bersama Masyarakat


Program BesComm 'Tour' Bersama Masyarakat ini telah diadakan di Pusat Bestari.Comm Kuala Telemong pada 30 Julai 2011 iaitu pada hari Sabtu. Program ini adalah anjuran Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu. Banyak acara yang diadakan pada hari tersebut yang melibatkan bidang ICT. Contohnya Pertandingan Tscore dibuka kepada murid tahun 5 dan tahun 6, Pertandingan Menaip Pantas dan banyak lagi. Kaunter SPR dan SMM juga dibuka untuk kemudahan orang ramai. 
Seramai 5 orang murid SK Dusun menyertai Pertandingan Tscore ini. Kesemuanya tidak pulang dengan tangan kosong kerana memenangi dalam kategori masing.masing. Mohammad Shahmin Aiman bin Zuraini dan Nur Izaja bt Zamri menyertai dalam kategori Tahun 5. Manakala Nur Liyana Nabihah, Nur Shazlin dan Nurul Jannah memenangi dalam kategori Tahun 6.

Ahad, 17 Julai 2011

Portal Bantu Mangsa Buli

TANJUNG MALIM 14 Julai - Mangsa buli di sekolah kini boleh meluahkan perasaan serta mendapatkan panduan sewajarnya bagi menangani masalah itu dengan mengunjungi pusat sehenti di http://ebuli.upsi.edu.my yang dibangunkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob berkata, selain itu, ibu bapa dan guru juga boleh memanfaatkan laman web pelbagai fungsi berkaitan fenomena buli itu yang merupakan satu transformasi UPSI untuk membantu masyarakat melalui kaedah santai atau tidak formal.
"Bagi pelajar, laman web ini adalah tempat bagi meluahkan masalah yang mereka hadapi. UPSI mempunyai pakar-pakar dalam khidmat nasihat, bimbingan dan kaunseling yang akan membantu mangsa buli secara interaktif.
"Bagi ibu bapa, mereka boleh memanfaatkan web e-Buli UPSI untuk berkongsi pengalaman dan mengendalikan isu buli anak-anak," katanya ketika berucap pada pelancaran portal itu di sini hari ini.
Pelancaran portal itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Seramai enam pakar kaunseling dari UPSI bertanggungjawab mengendalikan portal itu terutama bagi tugas memberi khidmat nasihat kepada para pengunjung laman berkenaan.
Selain khidmat dalam talian, UPSI juga kini menyediakan 23 pakar kaunseling lain untuk melaksanakan modul melatih para guru dan memberi kesedaran kepada murid-murid mangsa buli di sekitar negeri ini mengenai tindakan yang harus diambil apabila menghadapi situasi itu.
Aminah menambah, mangsa buli perlu diberi perhatian sewajarnya kerana kebanyakan mereka didapati menghadapi masalah seperti trauma dan hilang keyakinan diri sehingga enggan ke sekolah bagi mengelakkan diri daripada terus dibuli.
Sementara itu, Mohd. Puad memberitahu, statistik kementerian menunjukkan kes buli melibatkan para pelajar sekolah di seluruh negara semakin berkurangan sejak tiga tahun lalu.
Katanya, pada 2008, statistik menunjukkan seramai 3,107 kes buli dilaporkan di seluruh negara dan ia menurun kepada 2,889 kes pada 2009 dan hanya 2,617 kes, tahun lalu.
"Penurunan itu melibatkan semua aspek seperti kemampuan sekolah mengendalikan masalah buli, tindakan keras yang kita (kementerian) ambil seperti buang sekolah dan lebih penting, peranan ibu bapa dalam mendidik anak mereka," katanya.

Diambil dari Utusan Malaysia Online-Pendidikan
ARKIB : 15/07/2011

Khamis, 7 Julai 2011

Temu Murni Ibubapa,Guru dan Murid Tahun 6 kali ke2, 2011

Majlis Temu Murni ini telah diadakan pada 30hb Jun 2011 iaitu pada hari Khamis. Majlis ini diadakan adalah untuk memberi taklimat dan analisis pencapaian OTI 2 UPSR. Di samping itu majlis ini untuk memberitahu tentang analisis OTI 2 UPSR,  majlis ini juga diadakan bagi sesi dialog antara ibubapa dan guru berkaitan dengan anak masing-masing.
SESI DIALOG ANTARA GURU TAHUN 6 DAN IBUBAPA




Isnin, 4 Julai 2011

JAWATANKUASA PROGRAM LARIAN 1 MURID 1 SUKAN

Larian ini diadakan pada hari Sabtu,2 Julai 2011.Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia diharap mencipta rekod The Malaysia Book of Records bagi kategori penyertaan terbesar pelajar sekolah dalam acara larian. Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia itu antara lain bertujuan memupuk budaya sukan di kalangan peljar sekolah serta mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyertaan murid dalam aktiviti sukan.

PROGRAM TITIAN MESRA WARGA SKD BERSAMA KOMUNITI SETEMPAT

TARIKH : 5 JUN 2011
MASA : 9.00 PG
TEMPAT : SK DUSUN
PENGANJUR BERSAMA : PIBG, PASK SECURITY, GERBANG ARIF ENT.

8.30 PG : Semua warga sekolah serta ibubapa berkumpul di daratan perhimpunan skd
              :Ucapan aluan yang dipertua PIBG
              :Taklimat serta pembahagian tugas gotong royong oleh Guru Besar
              :Gotong royong bermula
      1. Tebang pokok kelapa dan jambu bersebelahan bangunan kayu
      2. Mengubah kayu dan papan (surau) ke tempat yang lebih tertutup
      3. Mengubahsuai taman orkid dan burung yang terbengkalai

11.30 pg : gotong royong selesai
               : Jamuan ringan
               : Bersurai