
Bangunan asalnya hanyalah beratapkan rumbia, bertiangkan batang pinang dan berdindingkan buluh separuh terbuka menjadi tempat pembelajaran kepada penduduk-penduduk kampong Dusun, Berkuh (tidak wujud lagi), Jenagor, Temir, Kuala Pueh dan Pauh. Sistem pembelajarannya bermula dari darjah satu hingga lima tanpa mengira peringkat umur. Bahan pembelajarannya hanya menggunakan papan batu dan pensel batu.
Sewaktu pendudukan Jepun ke atas Tanah Melayu, sekolah ini telah ditutup sehinggalah Jepun menyerah kalah dan dibuka semula pada tahun 1946. Secara umumnya sekolah ini telah dibuka secara rasminya pada tahun tersebut. Guru Besar pertamanya pada waktu itu ialah Encik Said Bin Daud.
Bilangan murid yang kian bertambah telah menyebabkan bangunan asal sekolah itu tidak lagi mampu menampung keramaian murid. Justeru, pada tahun 1955, Sekolah Kebangsaan Dusun telah beralih tapak di atas sebidang tanah kerajaan yang dibina bersebelahan dengan klinik kerajaan. Sebuah bangunan kayu yang menempatkan tiga buah bilik darjah telah dibina bagi menampung keperluan ini.
Sehingga kini sekolah ini telah dilihat sebagai sebuah sekolah Melayu yang telah berjaya melahirkan ramai golongan terpelajar dari daerah Hulu Terengganu yang menjawat pelbagai jawatan penting di sektor awam dan swasta.